Sebenarnya terlalu banyak produk-produk kesihatan
yang menawarkan makanan kesihatan kepada masyarakat Malaysia hari ini. Dengan
mencanangkan berbagai-bagai kebaikan atau khasiat yang dapat diberikan kepada
pelanggan-pelanggan yang membeli atau menggunakannya, ramai yang tertipu atau
mengharapkan kesan serta khasiat segera apabila menggunakannya.
Golongan yang paling terkesan dengan iklan atau
testimoni bagi sesuatu produk kesihatan adalah golongan wanita. Mereka sanggup
membeli dengan harga yang mahal semata-mata ingin mendapatkan khasiat yang telah
dicanang-canangkan itu.
Apakah definisi makanan
tambahan?
Makanan tambahan menurut USFDA ialah makanan
kesihatan yang mengandungi vitamin dan mineral dalam bentuk pil, cecair atau
minuman herba.
Mengambil makanan tambahan tidaklah salah
terutama untuk wanita yang menghadapi masalah haid yang terlalu banyak,
mengandung atau bersalin dan usia lanjut.
Anda perlu berhati-hati untuk memilih jenis
produk makanan kesihatan. Pilihlah yang terbaik dan telah
terbukti keberkesanannya kepada kesihatan penggunanya.
Beberapa panduan diperlukan
untuk mereka yang gemar mencuba produk makanan tambahan yang terdapat di
pasaran.
- Mengapakah anda perlu mengambil makanan tambahan?
- Tahukah anda, apa yang terkandung dalam makanan tambahan itu?
- Adakah produk makanan tambahan ini berisiko atau mengandungi kesan sampingan pada diri anda?
- Apakah jenis-jenis makanan tambahan yang terbukti baik untuk kesihatan wanita?
Wanita yang mengalami haid yang terlalu banyak
setiap bulan memang perlu pada makanan tambahan iaitu zat besi. (ferrus sulphate
/ ferrus fumarate).
Oleh itu, mengambil makanan tambahan yang
mengandungi zat besi amat perlu untuk mengelakkan kepucatan yang keterlaluan
(anaemia).
Biasanya doktor yang merawat akan memberi
preskripsinya untuk pesakit. Walaubagaimanapun, anda boleh mendapati banyak
produk-produk yang mengandungi zat besi dijual di farmasi.
Wanita sihat yang mengambil makanan seimbang
tidak perlu pada makanan tambahan.
Kandungan sesuatu produk kesihatan perlu diteliti
oleh anda untuk memastikan tiada mengandungi bahan yang tidak halal atau
melanggar syara’ dan tidak memberi kesan sampingan kepada penggunanya.
Terdapat produk makanan kesihatan yang terbukti
memberi kesan sampingan kepada pelanggan seperti spirulina kerana diketahui
mengganggu pembekuan darah dalam badan.
Oleh itu, pesakit yang mengambil spirulina
diarahkan oleh doktor menghentikan pengambilannya sebelum menjalani
pembedahan.
Akhirnya, marilah kita fokus pada makanan
tambahan yang telah terbukti menjadi penawar dan penyembuh serta merupakan
sunnah Nabi s.a.w.
1) Air zam-zam
Dari Ibnu Abbas r.a, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sebaik-baik air yang terdapat di muka bumi adalah zam-zam. Di dalamnya
terdapat makanan yang mengenyangkan dan penawar penyakit”.
Ibnu Qayyum berkata, “Ketika berada di Mekah aku
mengalami sakit dan tidak ada tabib dan ubat (yang dapat menyembuhkannya). Aku
pun mengubatinya dengan meminum air zam-zam dan membacakannya berulang kali
(dengan al-Fatihah). Kemudian aku meminumnya. Aku mendapatkan kesembuhan yang
sempurna. Aku pun menjadikannya untuk bersandar ketika mengalami rasa sakit, aku
benar banyak mendapat manfaat daripadanya.”
2) Khasiat buah kurma
Memakan kurma merupakan satu sunnah Nabi s.a.w.
Setiap perbuatan Nabi s.a.w yang diikuti akan mendapat berkat dan ternyata
sangat bermanfaat kepada manusia. Kandungannya yang tinggi khasiatnya serta kaya
dengan protein atau serat, vitamin A dan C serta zat galian atau mineral seperti
zat besi, kalsium, sodium dan potassium.
- Protein: 2%
- Serat: 4%
- Gula: 50% – 57%
Kulit kurma baik untuk mencegah barah usus besar
kerana boleh melawaskan pembuangan air besar.
Firman Allah s.w.t: “Lalu dengan (air) itu,
Kami tumbuhkan untukmu kebun-kebun kurma dan anggur, di sana kamu memperoleh
buah-buahan yang banyak dan sebahagian dari (buah-buahan) itu kamu makan.”
(Surah Al-Mukminun, ayat 19)
Diriwayatkan dari Aisyah r.a yang menjelaskan
kurma mengandungi ubat. Jika sesiapa yang selalu makan kurma akan dihindari dari
terkena racun yang dimakan.
Dikisahkan sewaktu Maryam melahirkan Nabi Isa a.s
di bawah pokok kurma, telah datang malaikat Jibril a.s menyuruh Maryam
menggegarkan pohon kurma. Lantas memakannya. Dengan izin Allah, ia memudahkan
kelahiran Nabi Isa a.s.
Seruan pada umat Islam supaya memakan kurma
sebagai menggantikan makanan yang berkolestrol tinggi atau berkarbohidrat
tinggi.
3) Khasiat Habbatus sauda’
- Ciri kandungannya boleh meningkatkan imuniti.
- Mengandungi omega 3,6,9 – nutrisi untuk sel otak untuk meningkatkan daya ingatan atau kecergasan.
- Memperbanyakkan susu ibu.
4) Khasiat madu lebah
Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nahl ayat
68-69: “Dan tuhanmu mengilhamkan kepada lebah. Buatlah sarang di
gunung-gunung, di pohon-pohon kayu dan di tempat-tempat yang dibikin manusia.
Makanlah dari segala (macam) buah-buahan lalu tempuhlah jalan tuhanmu yang telah
dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang
bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi
manusia…”
Dari sudut saintifik, madu didapati mengandungi
vitamin B1, B2, B3, vitamin C dan B6 (kandungan vitamin berubah mengikut kualiti
madu bunga yang dihisap oleh lebah. Ia juga mengandungi mineral seperti tembaga,
zink dalam jumlah yang kecil, magnesium, potassium, klorin, sulfur, zat besi dan
phosphate. Ia juga kaya dengan anti-oksidan yang boleh mengelakkan daripada
menghidap penyakit kanser.
Walau apa pun makanan tambahan yang kita ambil,
yang utama untuk ditekankan ialah pergantungan kita untuk lebih sihat dan
cergas adalah hanya kepada Allah s.w.t dan mendapat keberkatan kerana mengikut
sunnah Rasulullah s.a.w.
No comments:
Post a Comment