Thursday, 22 December 2011

MINUM AIR, KENAPA PERLU 8 GELAS SEHARI?

 
 
Pada hakikatnya selain oksigen air merupakan bahan paling penting yang diperlukan oleh setiap manusia sepanjang hayatnya. Malangnya air sering diabaikan dalam diet, terutamanya di kalangan kanak-kanak. Dalam kajian yang dilakukan di Hong Kong baru-baru ini, hanya 50 peratus daripada mereka yang ditinjau minum air sebanyak lapan gelas sehari. Manakala, yang lain-lainnya hanya minum apabila berasa dahaga saja.
    
 
Sebenarnya, kita perlu memberikan perhatian terhadap kebaikan minum air dan menggalakkan kanak-kanak berbuat sedemikian. Amalan minum air yang cukup akan dapat menghindarkan berlakunya pendehidtratan dan mengekalkan amalan membuang air besar. Di samping itu, kesihatan kulit dan rambut akan terjaga.
Kita memperoleh air daripada cecair seperti air paip, susu, jus buah-buahan, kordial, minuman ringan dan sup. Makanan seperti nasi, roti, mi, buah-buahan, dan sayur-sayuran turut mempunyai sedikit air walaupun tidak cukup untuk memenuhi keperluan cecair kita.
 
Air mempunyai peranan yang sangat penting dalam hampir setiap fungsi utama badan. Air melaraskan suhu badan di samping membawa nutrien dan oksigen ke sel, serta menghapuskan sisa. Air turut melindungi sendi serta mengawal organ dan tisu. Tanpa makanan, manusia dapat hidup selama lapan minggu, tetapi tanpa air manusia akan mati dalam masa tiga hari.

Jumlah air yang hilang sebagai peluh adalah berbeza-beza antara seseorang dengan seseorang yang lain. Hal ini bergantung juga pada suasana sekitar, tahap kegiatan, dan saiz badan. Dalam kegiatan biasa, kita mengeluarkan kira-kira 500-600 ml peluh sehari. Input air perlulah sekurang-kurangnya sama dengan output air. Orang dewasa biasanya memerlukan air antara 8-12 gelas sehari. Jumlah air yang diperlukan oleh kanak-kanak pula bergantung pada umur, berat, dan kegiatan fizikal mereka. Oleh sebab saiz tubuh mereka adalah kecil, mereka akan mengalami pendehidratan yang cepat. Selain itu, keperluan air meningkat sekiranya kita banyak menghabiskan masa di luar rumah dalam cuaca panas, kerap bersenam, atau berada dalam bilik yang berhawa dingin.
 
 
Kita biasa dengar dan diberitahu tentang betapa  pentingnya air, sehinggakan kita perlu ambil air sekurang-kurangnya 8 gelas sehari. Namun, sedar dan tahukah kita mengapa kita disarankan sedemikian?

 
Bagi setiap 25kg berat kita, kadar air yang diperlukan oleh badan untuk tahap optimum ialah sebanyak 1 liter air. Jadi, sekiranya berat badan adalah 70kg, maka badan sangat memerlukan sekurang-kurangnya 2.5liter sehari. Ini bermakna kita harus minum sebanyak 2 botol air mineral yang besar!


Namun, sebilangan besar daripada kita hanya minum air selepas makan. Kebiasaannya, purata hanyalah 2 gelas setiap kali selepas makan dan ini bermakna kita hanya minum sebanyak 6 gelas air dalam sehari. Tentu sekali keperluan badan kita tidak dapat dipenuhi, kerana kebiasaannya kita hanya minum minuman yang manis dan kurang mengambil air suam atau sky juice.



Air meliputi hampir 70% daripada komposisi dalaman kita. Dan air juga lah yang banyak membantu dalam proses penghadaman yang mana membantu sebagai pengalir setiap nutrisi dan oksigen ke sel-sel badan. Bukan itu sahaja, keperluan air juga penting untuk kelembapan kulit dalam melindungi sendi-sendi tulang serta organ dalaman.



Bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan, air merupakan aspek penting yang mana sangat membantu dalam proses detoksifikasi serta membantu meningkatkan metabolisma badan. Anda boleh cuba sendiri; rajin dan amalkan mengambil air kosong atau suam yang banyak setiap hari dan rasakan perbezaannya sendiri. Untuk mendisplinkan diri, dapatkan sebuah botol berukuran 1 liter atau lebih, dan minum pada kuantiti yang sewajarnya dalam tempoh sehari.



Namun, harus diingat..banyakkan minum air suam dan bukannya minuman yang manis!
 
 
 

No comments:

Post a Comment